Wednesday, September 3, 2008

Perjanjian Inggeris Kedah 1786 = Perjanjian Pangkor II 2008?

Semalam... lepas saya baca akhbar Utusan Malaysia, saya terpanggil plak tuk mengutarakan tentang sejarah bertapaknya penjajah British di Pulau Pinang. Walaupun sebenarnya cerita pasal Malayan Union haritu x abis lagi... Tapi kata orang tu kenalah ikut perkembangan semasa kan. Jadi cerita pasal Malayan Union tu akan di sambung pada entry yang berikutnya.



Tentu anda semua ingat siapakah Dajal yang bertanggungjawab kepada pertapakkan British di Pulau Pinang. Siapa lagi kalau bukan Francis Light. Siapa pula yang menggadaikan Pulau Pinang ni kepada Francis Light? Siapa lagi kalau bukan Sultan Abdullah, Sultan Kedah ketika itu.



Sebenarnya Francis Light telah menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah pada tahun 1786 dengan Sultan Kedah secara peribadi. ( Teringat plak dekat Perjanjian Pangkor II antara D dgn P . Tu pun kalau benarlah-benarlah perjanjian tu wujud ) Perjanjian ini membenarkan Francis Light menduduki Pulau Pinang dengan syarat beliau memberikan bantuan ketenteraan kepada Kedah. ( Dalam PPII plak pihak P tu dibolehkan mentadbir negeri tersebut oleh pihak D juga dengan beberapa syarat. Bezanya kali ni D bukan tuan tanah tapi P. Mcm mana tu? Pelikkan? ) Antara syarat perjanjian tersebut ialah:


  1. SHTI membantu Kedah sekiranya Kedah diserang musuh

  2. SHTI tidak boleh melndungi musuh Kedah

  3. SHTI akan membayar sebanyak 30 ribu dolar Sepanyol setahun kepada Sultan Kedah sebagai Pampasan ( saya tak mahulah sebut syarat-syarat PPII tu. Takut nanti dikata pro kerajaan plak kan. Tapi saya rasa tuan-tuan pun dah tahu kan... )

Selepas perjanjian itu, upacara menaikkan bendera Union Jack diadakan pada 11 Ogos 1786 dan menamakan Pulau Pinang sebagai Price of Wales Island. (Selepas perjanjian itu juga maka bermulalah pentadbiran pihak P dengan menghakis ketuanan bangsa sendiri di negeri tersebut sedikit demi sedikit atas nama kesaksamaan ) Petempatan mereka dinamakan Georgetown sempena nama Raja England iaitu King George III. ( Penempatan dalam PPII merujuk pada angka 999 dan 400. Pebenda tu, anda semua kenalah cari sendiri. tapi saya percaya anda semua tahu kan........... jangan tipu. Tak baik bebulan pose ni. ) Pendudukan ini menandakan bermulanya penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Rumusannya, walaupun sebenarnya persamaan yang wujud antara kedua perjanjian ini adalah sedikit. Tapi masih ada iktibar yang boleh kita perhatikan dan telusuri maksudnya. Betullah orang kata belajar melalui sejarah. Tapi apakah maknanya jika kita manusia menjadi sombong dengan melupakan sejarah hitam kita dan tanpa kita sedari kita telah mengulangi semula sejarah tersebut. Walaupun mungkin dalam situasi dan keadaan yang berbeza tapi ia tetap satu sejarah yang perlu kita renungkan bersama.

Oleh itu suka saya mengingatkan.... bodoh dan dungulah sesuatu bangsa itu jika mengulangi kesilapan yang sama berulang kali tanpa mendapat apa iktibar daripadanya.

Fikir-fikirkanlah.....

Tuesday, September 2, 2008

Rentetan Sejarah 2 : Sebab Penentangan Malayan Union

Jika sebelum ini saya dah menghuraikan serba sedikit tentang Malayan Union dan mengapa orang-orsng Melayu bangkit menentang gagasan tersebut. Pada entry kali ni plak saya akan menghuraikan dengan lebih jelas sebab penentangan Malayan Union.

Sebenarnya pelaksaanaan malayan Union akan menyebabkan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu terhapus. Raja-raja Melayu hanya akan menjadi ahli majlis Raja-Raja Melayu tanpa sebarang kuasa. Mereka juga kehilangan takhta dan maruah pelindung untuk orang Melayu. Pungutan zakat pula akan diletakkan di bawah kuasa Gabenor British. ( nasiblahkan, kalau takde kuasa raja-raja sekarang ni, dapatlah kita MB daripada keturunan Cina kat Perak )

Tamadun orang Melayu juga akan terhakis sama sekali. Tamadun orang Melayu seperti sistem beraja, bahasa Melayu dan tulisan jawi akan hilang. ( Dahlah tulisan Jawi memang jarang digunakan... Tulisan jawi kat papan-papan tanda jalan pun nak di hapuskan sekarang ni ) Ketuanan Melayu juga akan tercabar dan orang melayu akan kehilangan tanah air ( dah pun berlaku dengan Singapura.. Penang? ). Sementara itu, kerakyatan yang terlalu liberal dan peruntukan kerakyatan Jus Soli dalam Malayan Union akan mengancam status quo orang Melayu sebagai pribumi. ( Malaysian Malaysia? ) Status quo ialah sesuatu kedudukan yang sedia ada tanpa dibuat sebarang perubahan. Selain itu jumlah orang Melayu juga akan menjadi kecil akibat kemasukan golongan imigran yang mendapat kerakyatan dengan mudah.

Orang Melayu juga membantah tindakan Sir Harold MacMichael mengancam raja-raja Melayu. Orang Melayu tidak dapat menerima tindakan MacMichael yang mengancam akan menurunkan takhta raja-raja melayu jika baginda tidak menerima Malayan Union. Raja-raja Melayu juga tidak diberikan masa yang cukup untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat negeri atau penasihat baginda seperti yang berlaku ke atas baginda Sultan Perak.

Sekadar tuk renungan bersama.... Fikir-fikirkanlah...

Sunday, August 31, 2008

Saturday, August 30, 2008

Renungan Di Pagi Merdeka

Sempena sambutan kemerdekaan kali ini, ingin saya kembalikan memori kita semua kepada detik mulanya penjajahan di TANAH MELAYU yang amat kita sayangi. Supaya mungkin ada di antara kita akan kembali tersedar dari lena yang dibuai mimpi indah selama 51 tahun ini berbanding darah dan keringat yang dikorbankan oleh pejuang bangsa selama lebih 446 tahun.

Sejarah panjang penderitaan bangsa kita selama lebih 446 tahun itu bermulanya dengan sebuah kerajaan yang cukup gemilang pada zamannya iaitu Kesultanan Melayu Melaka



Keistimewaan Melaka

  1. Melaka sebagai pusat perdagangan utama rempah. Sehinggakan Tom Pires pernah mengatakan bahawa, menguasai Melaka seolah-olah telah meletakkan satu jari di Venice ( Pusat perdagangan unggul dan terkaya di Eropah pada masa itu)

  2. Melaka sebagai pusat pengembangan Islam.

Faktor Kedatangan Portugis Ke Melaka

  1. Gospel ( agama ), Gold ( kekeyaan ) dan Glory ( Kemasyhuran )

  2. Meneruskan Perang Salib dengan menghancurkan kerajan-kerajaan Islam di Timur

  3. Menguasai perdagangan rempah yang dikuasai oleh pedagang Islam.

  4. Mengusai Selat Melaka untuk menguasai jalan perdagangan utama.

Faktor Kejatuhan Melaka merupakan apa yang perlu kita beri perhatian. Biar sejarah mengajar kita apa yang telah terjadi untuk mengelakkan daripada ia terjadi sekali lagi. Bodoh dan dungu lah kita sebagai manusia apabila kita tidak belajar dari sejarah lalu dan membiarkan sejarah malang itu berlaku sekali lagi akibat kita terlalu lena dengan apa yg kita kecapi hari ini.


Faktor Kejatuhan Melaka


  1. Pentadbiran kerajaan yang lemah di bawah Sultan Mahmud dan Bendahara Tun Mutahir. (Bagaimanakah dengan kerajaan Malaysia sekarang? Adakah kita berada di bawah pemerintahan yang kuat sekarang ini? Anda jawablah sendiri)
  2. Wujudnya fitnah dan khianat apabila Raja Mandeliar memfitnah Bendahara Tun Mutahir mengamalkan Nepotism (Macam mana dengan Malaysia sekarang ni? Ada tak unsur-unsur fitnah dalam berpolitik demi merebut kuasa?)
  3. Yang paling utama sekali wujudnya pengkhianat bangsa iaitu Si Kitol dan Raja Mandeliar yang membantu portugis menawan Melaka. ( Agak-agaknya di zaman kita ni siapa yang menjadi pengkhianat bangsa ni? Tepuk dada tanya hati. )

Sekarang ini kita cuba lihat pula kenapa Malaysia menjadi perhatian kuasa besar dunia?

  1. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang tidak membenarkan campur tangan US di Selat Melaka yang merupakan antara perairan yang paling sibuk di dunia. ( Singapura dengan jelas telah memberi lampu hijau kepada US kerana hubungan baik kedua-dua negara. Indonesia pula merupakan negara yang sudah tidak mampu bersuara selepas negara tersebut meminjam dari IMF yang di belakangnya adalah US dan Yahudi. US sebenarnya cuba untuk menyusup masuk ke Malaysia atas nama memerangi keganasan)

  2. Malaysia merupakan antara negara Islam yang berani bersuara bagi menentang dasar-dasar luar US termasuk di Palestin. ( Selain Iran, Malaysia juga merupakan negara yang berani menegur dan membela hak-hak negara Islam. Malaysia antara negara yang berani mengutuk Yahudi terang-terangan. Dulu ada Iraq. Tapi kini telah pun hancur lebur )

  3. Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang melawan arus ketika krisis ekonomi melanda pada tahun 97/98 (Semua negara di Asia Tenggara yang terjejas teruk meminjam dengan IMF. Malaysia? Hampir dah pun meminjam akibat tindakan menteri kewangan ketika itu. Tak payahlah sebut nama. Nanti kata pro kerajaan plak. Nasiblah Perdana Menteri ketika itu bijak mentadbir kerajaan dengan mengambil langkah bertentangan melalui cara menambat RM bukan melalui pinjaman IMF)

  4. Malaysia dilihat sebagai sebuah negara membangun yang mampu untuk memimpin negara-negara dunia ketiga dan menggugat propaganda US dan Yahudi ( Sudah terbukti Malaysia dikenali sebagai pemimpin negara membangun yang secara kebetulannya ialah majoriti negara-negara Islam)

Rumusannya ialah, malaysia merupakan negara merdeka yang tidak mahu mengikut telunjuk kuasa dunia barat terutama US. Tetapi kenapa Malaysia? Jika dilihat secara mata kasarnya Malaysia langsung tidak mampu memberikan ancaman kepada US. Dari segi ekonomi dan ketenteraan, apalah sangat yang Malaysia ada. Ekonomi sekadar cukup makan, Ketenteraan kalau nak dibandingkan dengan Singapura pun kita jauh tertinggal.

Sebenarnya apa yang ditakutkan US dan Yahudi ialah suara Malaysia. Malaysia walaupun kecil tapi mempunyai pengaruh yang besar terhadap negara-negara Islam dan negara-negara dunia ketiga. Dengan mereka menguasai Malaysia, maka lebih mudahlah untuk mereka menyebarkan propaganda-propaganda barat terutama yang didalangi Yahudi ke seluruh dunia terutama dunia Islam.

kalau kita lihat balik sekarang ini.. Apa yang berlaku di negara kita sekarang hampir sama dengan apa yang menyebabkan kejatuhan Empayar Agung Melaka ke tangan penjajah. Pentadbiran kerajaan yang lemah.... memang pun kita lihat kepimpinan yang ada sekarang berada di tahap yang tidak pernah kita duga selama ini. Fitnah dan khianat..... semakin hebat sekarang ni hinggakan sanggup mempermainkan agama. Agama digadai ke sana ke mari.

Tapi yang paling saya dan kita semua takutkan ialah petualang bangsa. Ini adalah tidak boleh dimaafkan sama sekali. Sekali negara tergadai.... berapa ratus tahun lagi harus kita menderita.? Adakah kita tidak belajar dari negara-negara yang pernah menjadi mangsa? Lihat Iraq dengan si Kitolnya Nouri Al Maliki. Lihat Afghanistan dengan si Kitolnya Hamid Karzai. Lihatlah Turki dengan si Kitolnya Kamal Attarturk. Dan yang sedang menunggu masa Iran. ( Doanya tidaklah sampai Iran pun kena ) Adakah kita masih tidak belajar? Sedarlah wahai bangsaku. Carilah intan anda yang sebenarnya. Jangan kerana ingin memberi peluang mencuba, rosak kita seluruhnya.

Untuk menghancurkan negara bukannya mengambil masa yang terlalu lama. Iraq jatuh tersungkur hanya memakan masa tidak sampai setahun. Tapi untuk membina negara kita hingga ke tahap ini, kita dah mengambil masa selama 51 tahun. Untuk menghancurkan sesebuah negara, sejarah telah membuktikan tidak perlu sepenggal di tampuk kuasa.

Fikir-fikirkanlah........



Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Yang Ke 51


Esok, untuk yang ke sekian kalinya kita sebagai rakyat bumi yang bertuah ini akan menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 51 tahun. Dengan keadaan yang berlaku di negara kita sekarang ini, kelihatannya sambutan untuk ulangtahun kemerdekaan kali ini nampak suram. Apakan tidaknya, sambutan kali ini banyak di bayangi perkembangan politik semasa yang tak sudah-sudah bergolak. Sehingga kadang-kadang membuatkan kita rasa penat untuk mendengarnya.


Dengan tema 'Perpaduan Teras Kejayaan' kita dapat agak apa yang cuba disemai oleh kerajaan yang memerintah. Niatnya murni untuk menyuburkan semula semangat perpaduan kaum di Malaysia ini yang semakin terhakis sedikit demi sedikit akibat percaturan politik warganegara-warganegara yang tidak bertanggungjawab. Memang ada benarnya. Perpaduan yang tumbuh di negara ini ( walaupun tidak berapa subur sebenarnya ) semakin rapuh dari hari ke hari. Sebab itu kerajaan merasa terpanggil untuk menyuburkan semula perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Ini kerana dengan adanya perpaduanlah kemajuan dan keharmonian negara akan dapat di capai. Jikalau tidak dilakukan sekarang, kita khuatir menjelang wawasan 2020 negara kita tidak mencapai taraf negara maju. Tetapi sebaliknya kita terpaksa memulakan semula pembinaan negara Malaysia. Yang lebih teruk lg.... berada di dalam cengkaman penjajah lagi. Nauzubillah....... Fikir-fikirkanlah

Friday, August 29, 2008

Kibarkan Jalur Gemilang Biar Ikhlas


Kata orang kalau hendaklah melakukan sesuatu perkara itu biarlah ikhlas. Oleh kerana keikhlasan itulah yang memberikan nilai kepada perkara yang kita lakukan. Namun kadang-kadang aku terasa pelik dan jelik dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia.


Yang aku maksudkan ialah mereka-mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang dalam kedudukan yang terbalik. Apakah maksud dan mesej yang hendak disampaikan sebenarnya.... Ya memang ada sesetengah perkara yang berlaku di dalam negara kita ini tidak akan memuaskan hati semua pihak. Ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.... tapi pada aku sebagai seorang rakyat Malaysia yang masih cintakan tanah air ini, tindakan itu bukan satu perkara yang wajar.

Ia seolah-olah mendoakan huru-hara, kacau bilau dan kejatuhan negara sendiri. Hentikanlah.... x ada lagikah cara lain untuk anda menyampaikan tanda protes. Bersyukurlah anda lahir sebagai seorang rakyat Malaysia yang punya negara untuk dibanggakan. Bersyukurlah anda semua kerana tidak menjadi rakyat Iraq yang merempat di negara sendiri. Bersyukurlah anda kerana anda tidak lahir sebagai rakyat Palestin yang langsung tidak mempunyai negara.


Berfikirlah secara waras.... kerana saya mengetahui bahawa mereka ini semua mempunyai akal fikiran yang tinggi untuk memikirkan perkara semudah ini. Kalau benar ikhlas tuk mengibarkan jalur gemilang buatlah dengan penuh rasa hormat dan cinta pada negara. Jika kibarkan hanya sekadar untuk menghina negara sendiri, hentikanlah dan fikir-fikirkanlah...

Wednesday, August 27, 2008

Rentetan Sejarah 1 : Malayan Union

Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar perkataan Malayan Union. Tapi berapa ramaikah di antara kita yang mengetahui apa sebenarnya Malayan Union. Malayan Union sebenarnya diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan tujuan untuk mengubah status Tanah melayu daripada negeri naungan (dilindungi dan raja-raja melayu masih menjadi ketua negeri) kepada Tanah Jajahan Mahkota yang diperintah secara langsung oleh British dan berada di bawah Parlimen British. Ia bolehlah dikatakan sebagai penjajahan secara mutlak British ke atas Tanah Melayu.



Di sinilah bermulanya perpaduan orang Melayu. Orang Melayu dari selusuh pelusuk Tanah Melayu bangkit menentang penubuhan Malayan Union ini. Apakah punca kepada penentangan ini? Sudah tentulah dasar-dasar yang akan diamalkan oleh British apabila Malayan Union tertubuh secara rasminya. Antara perkara yang menjadi asas kepada penentangan ini ialah:

  1. penghapusan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu

  2. sistem kerakyatan yang sama rata antara imigran dan orang Melayu (mengancam status quo orang Melayu)

  3. Tamadun orang Melayu akan terhakis
  4. Membantah tindakan Sir Harold MacMichael yang mengugut raja-raja melayu

Raja-raja melayu juga telah mengambil tindakan membantah Malayan Union sepertimana yang dilakukan oleh Sultan Johor dengan menghantar surat kepada setiausaha Tanah Jajahan British. Raja-raja Melayu sebenarnya telah dipaksa menerima gagasan Malayan Union. Bantahan orang Melayu telah menyedarkan raja-raja Melayu agar berganding bahu dengan rakyat untuk menentang Malayan Union.


Selepas itu, Kongres Melayu yang pertama telah diadakan pada 1 hingga 4 mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini dihadiri oleh 41 buah persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu. Kongres ini bersetuju menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO) untuk menentang Malayan Union.

Kongres melayu yang kedua pula telah diadakan pada 30 hingga 31 Mac 1946 untuk membantah perisytiharan Malayan Union pada 1 April 1946. Kongres kedua ini memutuskan tiga perkara penting sebagai tindakan lanjut menentang Malayan Union iaitu:

  1. meminta raja-raja Melayu memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union
  2. Meminta orang Melayu yang dilantik menganggotai sebarang majlis pentadbiran Malayan Union memulaukan perlantikan itu
  3. Menuntut orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain putih pada songkok

Satu lagi langkah menentang malayan Union ialah semasa lawatan L.D. Gammans dan David Rees Williams. Lawatan ahli parlimen British tersebut diadakan pada bulan Mei 1946. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana orang Melayu benar-benar menetang Malayan Union. Ketika itu orang Melayu telah berhimpun di Singapura, Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Rembau, Seremban, Klang, Kuala Lumpur, Ipoh, Alor Star dan George Town. Rapat umum diadakan dengan membawa sepanduk-sepanduk yang mengutuk Malayan Union dan Sir Harold MacMichael

Beberapa perkara penting yang dapat kita rumuskan di sini ialah :-

  1. perpaduan dan penyatuan orang Melayu dari segenap pelusuk Tanah Melayu ( yang tidak mungkin lagi kita akan lihat dalam 10 hingga 20 tahun akan datang)
  2. penubuhan parti PEKEMBAR atau UMNO yang menunjangi kemerdekaan Tanah Melayu ( parti yang akan dibunuh tanpa belas kasihan dan dikuburkan oleh cucu dan cicit pejuang parti itu sendiri)
  3. kedaulatan institusi beraja yang dipertahankan oleh orang Melayu ( institusi yang akan direnggut kuasanya atas tindak-tanduk semasa bangsa itu sendiri)
  4. status quo orang Melayu yang dipertahankan oleh datuk nenek kita untuk anak bangsa( status yang akan dikikis sedikit demi sedikit oleh anak bangsa datuk nenek itu juga )